Pages

Wednesday 22 July 2009

Ikan Keli Salai 'One Newtech': Aroma Penambat Selera


SAJIAN BERKHASIAT... Kaya dengan protein dan lemak asid omega-3 dan rendah kolesterol serta lemak tepu; ikan keli salai "One Newtech" adalah ideal untuk kesihatan. Pengambilan satu hingga dua sajian ikan keli seumpama ini dalam seminggu dikatakan boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat serangan jantung. Malah, asid lemak omega-3 memberi faedah kesihatan untuk gastrousus, neurologikal, kaediovaskular, dan juga sistem peredaran darah dalam badan. Foto: Mohd Azhar Ibrahim Oleh Mohd Azhar Ibrahim

Sempena Ekspo Mega Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia 24-28 Jun

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Selepas berhenti daripada jawatan sebagai pengurus perhubungan awam dengan sebuah syarikat penerbangan beberapa tahun lepas, Shaharuddin Md Yusof, 60, merealisasikan minat dalam perniagaan dengan menternak ikan keli dalam tangki simen.

Pada permulaan beliau menjual ikan keli hasil ternakannya itu kepada penjual di pasar malam dan pasar tani yang terletak berhampiran.

Shaharuddin bersama saudara lelakinya menubuhkan Newtech Aquaculture Sdn Bhd pada Januari 2007, dan kemudian mendaftarkan syarikat berkenaan di bawah Skim Anak Angkat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), untuk mempelajari lebih mendalam mengenai industri akuakultur ikan keli.

Sejak Disember 2008, perniagaan itu, kini dikenali sebagai One Newtech, kini dimiliki sepenuhnya oleh Shaharuddin.

Dengan semangat untuk melebarkan perniagaannya, Shaharuddin mula mencari peluang untuk mempelbagai produk dengan menghasilkan produk yang diminta oleh pelanggan selain daripada ikan keli hidup.

IKAN KELI ORGANIK SALAI

Sebelum adanya peti sejuk, penyalaian adalah satu bentuk pengawetan dan penyimpanan yang popular.

Bahan kimia yang terhasil daripada kayu yang digunakan dalam proses penyalaian membantu memperlahankan pertumbuhan mikro-organisme dan mengurangkan jumlah kelembapan bagi pembiakan bakteria.

Rasa dan tekstur produk ikan keli organik yang disalai banyak bergantung kepada beberapa faktor termasuk kualiti ikan, jenis kayu yang digunakan untuk menyalai dan cara penyalaian.

Ikan yang disalai secara betul akan dapat mengekalkan nilai khasiat ikan segar berkenaan.

"Selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk menghasilkan ikan keli salai dan melayari internet bagi mendapatkan maklumat mengenai peralatan, teknik dan proses bagi menghasilkan ikan keli salai.

"Saya akhirnya mendapat apa yang saya mahukan di laman web di Jerman", kata Shaharuddin kepada Bernama semasa ditemubual di premis perniagaannya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor baru-baru ini.

Beliau terbang ke Jerman untuk bertemu dengan pengeluar mesin berkenaan tetapi mendapati harganya agak terlalu tinggi.

"Walaupun tidak dijual, mereka amat menghargai usaha saya dan memberi saya skema teknologi mesin penyalai berkenaan", katanya.

TEKNOLOGI TERBARU

Dengan rangka tindakan dalam tangan, Shaharuddin mendapatkan sebuah mesin penyalai yang dipasang siap di sini pada kos RM80,000.

Menurut para pegawai LKIM, mesin penyalai yang dimiliki oleh Shaaruddin adalah satu-satunya mesin penyalai yang menggunakan teknologi terkini dalam proses menyalai, di mana penyalaian (dan haba) dihasilkan di bahagian berasingan dan kemudian disalurkan ke bahagian lain di mana ikan yang diproses digantungkan.

"Cara ini, daging ikan akan masak secara perlahan dan kekal lembut dan enak", kata Shaharuddin.

PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN

Dalam usahanya untuk mencapai kesempurnaan, Shaharuddin menghabiskan masa selama tiga bulan mencuba pelbagai teknik penyalaian untuk mengenalpasti proses penyalaian dan ramuan yang tepat.

Pemilihan kayu yang betul adalah suatu yang sukar. Hanya kayu pain yang mengandungi damar akan menjadikan ikan terasa pahit dan ini digemari ramai.

Beliau mendapati walaupun kayu dari pokok jambu tempatan memberikan hasil yang terbaik, mendapatkan bekalan untuknya bukanlah satu yang mudah. Beliau terpaksa mencari yang lain.

"Akhirnya, saya menjumpai habuk gergaji kayu oak menghasilkan asap yang bersih dan tidak tebal yang meningkatkan rasa enak ikan; menjadikan isi ikan warna yang menarik tanpa menjejaskan nilai khasiatnya", jelas beliau.

Habuk kayu oak juga mudah diperoleh secara komersial.

HASIL DAN PASARAN

Pada 1hb Januari 2008, produk mula dikeluar dan dipasarkan secara komersial dengan jenama "Newtech" setelah ia berjaya menghasilkan ikan salai yang bermutu.

Dengan taglinenya berbunyi: "Aromanya Membuka Selera Anda", keli organik salai "Newtech" kini dipasarkan melalui pasar tani, pasar malam, pasar segar dan di kedai makan serta runcit di Bangi, Kajang dan Putrajaya.

Sebagai Presiden Persatuan Anak Angkat Jabatan Perikanan Selangor, Shaharuddin juga mewujudkan satu rangkaian pengedar untuk produk berkenaan.

Syarikat berkenaan turut aktif menyertai pameran dan ekspo yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti FAMA dan MeCD di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengguna yang menitik berat akan kesihatan menyambut baik hasil produk Shaharuddin lebih-lebih lagi ia menerima sijil "halal" daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hasil pengeluaran harian mencatatkan pertambahan sekali ganda pada suku tahun kedua dan sekali ganda lagi pada suku tahun ketiga dan keempat.

Pada peringkat awal, pengeluaran produk adalah cuma kira-kira 20 kg sehari pada Januari dan meningkat kepada 40 kg pada Mac, 60 kg pada Jun, 80kg pada September; mencecah 100 kg sehari atau 2.5 tan metrik sebulan pada Disember 2008.

Permintaan kian bertambah hingga melebihi tawaran. Syarikat berkenaan kini terpaksa mendapatkan bekalan ikan daripada pemilik akuakultur, tetapi dengan syarat ikan keli diberi makan pelet.

"Kami menawarkan RM3.80 setiap kilogram ikan daripada penternak ikan keli, yang saiznya telah ditetapkan termasuk penghantaran", kata Shaharuddin.

KELEBIHAN IKAN KELI DIBERI MAKAN PELLET

Tidak seperti ikan sejenis yang hidup dalam lumpur di sungai, ikan ternakan di kolam milik One Newtech diberi makan pelet menjadikan isi ikan terasa manis, kenyal tetapi lembut.

Penyelidikan yang dikendalikan oleh Insitut Ikan Keli Amerika Syarikat mendapati bahawa ikan keli yang diternak dan diberi makan dengan pelet mempunyai sumber protein yang baik.

Kaya dalam protein dan lemak asid omega-3 serta rendah kolestrol dan lemak tepu; ia adalah ideal untuk diet kesihatan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Persatuan Perubatan Amerika, tahap sederhana lemak politepu dan asid lemak omega-3 memberi faedah kesihatan untuk gastrousus, neurologikal, kaediovaskular, sistem peredaran dalam badan.

Laporan itu juga menyebut bahawa pengambilan satu hingga dua sajian ikan keli seumpama dalam seminggu boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat serangan jantung.

PENGEMBANGAN PASARAN

One Newtech akan memulakan satu program pengembangan bertujuan agar produk syarikat boleh diperoleh di pasar raya seperti Carrefour, Giant dan Tesco.

Shaharuddin menjangka tahap pengeluaran harian akan meningkat lagi sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, syarikat merancang menambah ketuhar penyalai selain meningkatkan kebersihan premis bagi mematuhi Prosidur Pengendalian Standard Kebersihan (SSOP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Dalam usaha mempelbagaikan produk, One Newtech baru-baru ini telah menambah daging salai dalam tawaran produknya.

Turut tersenarai dalam produk barunya ialah ikan tilapia dan ikan patin salai.

"Akhirnya, kami berharap dapat memperoleh sijil HACCP", kata Shaharuddin.

HACCP ialah satu proses yang digunakan untuk menentukan potensi bahaya dalam pengeluaran makanan serta menentukan satu sistem pengurusan dan pengawasan yang ketat bagi memastikan produk makanan selamat untuk dimakan.

Pensijilan ini adalah satu proses yang ditetapkan untuk jualan produk makanan yang siap proses dalam pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat.

0 comments:

Post a Comment