Moina merupakan sejenis zooplankton yang biasa digunakan dalam pemakanan anak ikan air tawar. Ia juga mendapat gelaran popular iaitu "kutu air" di mana moina biasanya hidup di kawasan semula jadi seperti d dalam air sungai, air mata air, air lombong atau air parit yang bersih.
Gambarajah menunjukkan lakaran anatomi moina
Apakah tujuan menghasilkan moina dan bilakah masanya kita perlu beri moina kepada ikan ternakan ?
Selepas telur ikan menetas, rega ikan dibiarkan selama 3 hari tanpa diberi sebarang makanan. Selepas 3 hari rega ikan ini dilepaskan di dalam kolam asuhan iaitu kolam tanah. Pada hari keempat, rega ikan diberi makan dengan moina.
Kenapa rega ikan diberi moina ?
Rega ikan diberi moina kerana pada masa ini rega ikan seperti ikan keli belum mempunyai sebarang sesungut. Oleh itu mereka tidak dapat mengesan makanan. Rega ikan akan mencari atau memakan apa sahaja yang bergerak dihadapan mereka. Oleh itu pada hari keempat, rega ikan perlu diberi dengan moina hidup.
Perlukah ikan melebihi 1 inci hingga 3 inci diberi makan dengan moina ?
Ikan melebihi 1 hingga 3 inci tidak perlu diberi makan dengan moina kerana pada masa ini ikan telah mempunyai sesungut dan telah pandai makan pellet. Pada masa ini juga ikan telah besar dan hampir tidak dapat melihat moina kerana moina adalah pada saiz yang kecil. Ini umpama anda memberikan makanan bayi kepada budak yang berusia melebihi 5 tahun. Mereka tidak akan makan makanan tersebut.
Bagaimana untuk mengkultur / menghasilkan moina ?
Untuk menghasilkan moina, sediakan kolam 10' x 10'. Masukkan air sedalam 1 atau 2 kaki. Kemudian masukkan tahi ayam di dalam guni kain atau kain pelekat yang tidak dipakai dan rendamkan tahi ayam tersebut di dalam kolam yang disediakan. Biarkan selama 3 hari dan moina akan jelas kelihatan pada hari ke tiga. Moina boleh disauk dengan menggunakan penyauk khas yang sama seperti sauk mengambil rega ikan kerana moina terlalu halus dan akan lepas sekiranya anda menggunakan sauk biasa. Moina boleh diambil selewat-lewatnya jam 8 pagi kerana moina akan berada di permukaan pada awal pagi dan apabila cahaya matahari mula menyinar dengan terik, moina akan turun ke dasar kolam. Oleh itu kita sukar untuk mendapatkan moina.
Bagaimana kalau menggunakan air yang telah dirawat oleh syarikat air ?
Moina adalah sangat sentitif terhadap racun serangga, logam seperti kuprum dan zink, detergen seperti klorin, bahan peluntur dan bahan toksik lain di dalam air yang dibekalkan oleh syarikat air. Oleh itu moina sesuai dihasilkan dengan air semulajadi. Air hujan adalah air yang paling sesuai digunakan dalam menghasilkan moina.
Suhu yang sesuai dalam mengkultur atau menghasilkan moina adalah pada 24 hingga 31 darjah Celcius. Suhu yang rendah akan merendahkan pengeluaran moina.
Berapa lamakah jangka hayat moina?
Jangka hayat moina adalah selama 7 hari sahaja.
Selepas 7 hari bagaimana jika ingin mendapat bekalan moina yang berterusan?
Selepas 7 hari, anda perlu membuang separuh daripada air kolam dan gantikan dengan air yang baru serta menambahkan tahi ayam supaya moina baru dapat dihasilkan.
Adakah moina boleh disimpan ? Adakah kita perlu hasilkan mona setiap hari ?
Ya, moina boleh disimpan. Pada hari keempat, rega ikan yang dilepaskan dalam kolam asuhan perlu diberi makan dengan moina kerana ia belum ada sesungut dan mengejar apa sahaja yang bergerak di hadapan mereka. Oleh itu bermula dari hari tersebut rega ikan telah mengenali moina. Pada hari kedua dalam kolam asuhan atau hari kelima selepas menetas, rega ikan telah boleh diberi dengan moina mati. Caranya dengan mengkultur moina dalam kuantiti yang banyak kemudian ia ditapis atau disauk dan moina tersebut boleh dibekukan di dalam peti sejuk. Apabila hendak digunakan ia boleh dikeluarkan dan dipanaskan pada suhu bilik dan dilepaskan di dalam kolam asuhan untuk diberi makan kepada rega ikan.
Kenapa perlu air hijau ? Perlukan air hijau disediakan dalam kolam sebelum benih 2 atau 3 inci dimasukkan ?
Mikroalga merupakan makanan kepada moina. Air hijau terjadi kerana kehadiran mikroalga yang disebabkan oleh penambahan tahi ayam atau melalui pancaran cahaya matahari kepada air yang statik atau tidak bergerak. Moina akan memakan mikroalga ini untuk membesar dan membiak. Moina hanya diberikan kepada rega yang berusia 4 hari selepas menetas kerana pada usia ini ikan masih tidak mempunyai sesungut dan tidak dapat mengesan makanan. Mereka akan kejar dan makan apa sahaja yang kecil dan bergerak di hadapan mereka. Telah dinyatakan di atas bahawa ikan pada saiz 2 atau 3 inci tidak lagi memakan moina.
Penghasilan air hijau pada kolam ternakan melalui penambahan tahi ayam akan mengotorkan air kolam dan menjadikan ikan ternakan was-was untuk dimakan. Najis ikan itu sendiri adalah bersifat ammonia iaitu NH3 dan ia adalah sejenis alkali. Ikan yang hidup dalam keadaan alkali yang ekstrem akan menjadikan ikan berada dalam keadaan "stress" dan ini mengganggu tumbesaran serta tabiat pemakanan ikan ternakan. Apa jua jenis ikan air tawar akan membesar dengan sekata dan menghasilkan tekstur daging yang baik apabila diternak pada pH neutral atau di antara pH 6.5 hingga pH 7.5.
1 comments:
Nk beli d mana
Post a Comment