Pages

Wednesday, 22 July 2009

Izwan Pilus jadi tauke ikan keli


Usaha Izwan turut mendapat sokongan sebahagian besar keluarganya.

PUAS juga penulis berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan jurufoto yang menimbulkan persoalan mengapa untuk ke destinasi kami iaitu Jasin di Melaka perlu keluar dari Plaza Tol Tangkak, Muar, Johor. Jawab penulis mudah, ikut saja arahan tuan rumah, iaitu penyanyi Izwan Pilus, kerana mungkin laluan berkenaan lebih mudah dan dekat untuk ke Kampung Melangkan, Nyalas, Jasin.

B*Pop minggu menjenguk kolam ikan air tawar yang diusahakan Izwan dan keluarga sebelah bapanya di Melaka.

Ilham untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian ternakan ikan air tawar seperti keli dan tilapia tidak pernah terjangkau di fikiran penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini. Namun, selepas setahun menceburi bidang seni suara dan pengacaraan, Izwan yang cukup popular dengan lagu Indah Lelapku dan Kembali Senyum mula memikirkan sesuatu yang lebih menjamin masa depan.

“Kebetulan selepas setahun aktif dalam bidang seni, ayah yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan pula hendak bersara. Dia cadangkan supaya kembangkan ternakan ikan tilapia yang sudah mula diusahakan sepupu saya, Mohd Zieham Idros atau Abang Am sejak setahun lalu,” ceritanya sambil melayan kerenah anak-anak saudaranya sambil makan tengahari.

Izwan cuba menyauk puyu.

Dengan menyediakan kos pelaburan yang diperlukan serta menjadikan tanah milik bapa Abang Am sebagai lokasi ternakan, kini selain satu kolam yang digali untuk tilapia, dibina tiga lagi kolam batu khusus untuk ternakan ikan keli pula. Setakat ini, Izwan sudah tiga kali menuai hasil tilapia manakala sejumlah 5,000 keli berusia sebulan lebih di kolam batu hanya perlu menanti dua bulan lagi sebelum dapat dijual.

“Prospek ternakan ikan air tawar ini memang boleh pergi lebih jauh lagi memandangkan perancangan pihak Jabatan Perikanan Negeri Melaka yang sedang berusaha menjadikan Air Kangkung satu lokasi di daerah Jasin sebagai pusat pengumpulan ikan,” jelasnya yang bercadang untuk memperkembangkan lagi perniagaan sedemikian terutama produk akhir dan menjadi pembekal ikan keli salai.

Graduan lulusan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Pengurusan Pelancongan ini memang tidak pernah duduk diam. Ada saja kelapangan. Dari jemputan membuat persembahan nyanyian, dia dan pengurusnya, Mas Anizah akan kembali ke kampung menjenguk hasil ternakan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Taman Tasik dan SMK Simpang Bekok, Johor ini kelebihan menternak ikan di situ ialah air yang digunakan adalah air sungai yang dipam masuk ke dalam kolam. Ini menjadikan ikan lebih segar dan mendapat persekitaran yang lebih semula jadi. Kolam batu pula perlu dialirkan dan dikitar airnya supaya ia terjamin bersih dan sihat untuk pembesaran ikan keli.

Sejam bersama keluarga Pilus Mohd Jani, 56, (ayah Izwan) dan isteri, Normah Abdullah, 54, cukup bermakna. Ternyata, keakraban keluarga ini tidak dapat dinafikan lagi. Buktinya, baru lima minit kami sampai ke rumah Idros Mohd Jani yang juga Pak Long kepdaa Izwan, muncul sanak saudara yang tinggal berhampiran bertandang sambil masing-masing membawa juadah.

Rupa-rupanya keluarga ini memang suka makan tengah hari ala berkelah di bawah rimbunan pohon buah-buahan di belakang rumah Pak Long. Selain sambal binjai, kari ayam, telur masak kicap dan gulai rebung sebagai hidangan makan tengah hari, ia diselangi buah durian, rambutan dan manggis sebagai pencuci mulut.

Kata Izwan, selepas projek ternakan itu berjalan sepenuhnya, dia akan lebih kerap pulang ke Melaka kerana bapanya akan berpindah ke sana sebaik rumah mereka siap dijangka tahun depan.

Bercakap mengenai album keduanya, Izwan mengakui terpaksa menangguhkannya buat sementara waktu kerana masih mencari material terbaik untuk dimuatkan dalam album itu nanti.

“Apapun, saya akan cuba untuk memastikan satu single akan dilancarkan sebelum penghujung tahun ini,” katanya sambil mengakui artis baru sepertinya cenderung mendapatkan khidmat komposer ternama lebih-lebih lagi untuk membantu kejayaan album kedua.

0 comments:

Post a Comment