Pages

Tuesday, 30 June 2009

Ikan Keli Masak Lemak Cili Padi





Bahan-Bahan

1 kilo ikan keli (keli afrika atau sawah)

1 biji kelapa - asingkan pati

50 biji cili padi

dua biji pisang muda (sederhana besar)

5 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

½ inci kunyit

Limau kasturi

Garam secukup rasa



Cara:

Kisar cili padi bawang, kunyit dan pisang muda yang dipotong-potong (tak perlu buang kulit. Cuma basuh bersih-bersih) bersama sedikit santan.

Masukkan ke dalam periuk yang telah dipanaskan. Masukkan ikan keli yang sudah dikelar. Kemudian masukkan lebihan santan cair. Kacau, jangan bagi pecah minyak. Masukkan garam. Setelah ikan masak masukkan pati santan. Tutupkan api, perahkan limau. Bolehlah dihidang





Cadangan Hidangan:

Hidangkan semasa panas



Tambahan:

Cili padi memang banyak, tak pedas sebab ada pisang dan limau. Kalaau nak lagi pedas boleh tambah lagi. Pisang tu tak perlu dibuang kulit. Masakan ni akan berwarna kehijauan dan agak pekat berbanding gulai biasa. Jangan kacau terlalu kuat sebab ikan senang hancur. Selamat memasak.

Keli Bioteknologi

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sasaran pertumbuhan tahunan bagi perikanan akuakultur yang digariskan ialah 21.5 peratus manakala pengeluaran produk sebanyak 662,000 tan metrik.


Deretan kolam kanvas milik Active Surge Sdn Bhd. di Taman Desa Subang, Shah Alam.

RMK-9 yang akan tamat dalam tempoh lebih dua tahun lagi, masih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran dalam subsektor akuakultur termasuk menambah bilangan pengusaha.

Bidang akuakultur ini sebenarnya meliputi banyak aktiviti sama ada ternakan kolam, sangkar, tangki yang semuanya sesuai untuk ternakan ikan dan sebahagiannya untuk udang, selain kerang-kerangan dan rumpai laut.

Kemunculan teknologi baru merancakkan lagi industri akuakultur antaranya dengan pengenalan air kitar semula, dalam kanvas dan pembersihan air menggunakan penapis biologi atau mikroorganisme.

Terbaru dan paling mendapat sambutan ialah penggunaan teknologi ternakan ikan dalam kanvas khususnya untuk keli yang dikatakan sesuai kerana sifat tahan lasak.

Kini, konsep ternakan keli dalam kanvas menjadi popular dan diperkatakan oleh mereka yang mula berjinak-jinak dengan pertanian.

Mereka seakan lupa bahawa ternakan menggunakan kanvas sebenarnya satu teknologi tinggi yang memerlukan pengetahuan mendalam sebelum menceburkan diri.

Persoalannya, bagi yang berminat, di mana teknologi tersebut boleh diperoleh?

Bagi menampung permintaan tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Active Surge Sdn. Bhd. (ASSB) menawarkan teknologi yang dibangunkan bersama sistem pemakanan lengkap dan sistematik.

ASSB ditubuhkan pada 2005 untuk menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui akuakultur.

Syarikat yang beroperasi di Taman Desa Subang, Shah Alam Selangor ini pada awalnya terlibat dalam, bidang akuakultur secara kecil-kecilan.

Namun, ia menempa sejarah selepas kejayaan memperkenalkan teknologi ternakan ikan air tawar dalam kanvas dengan penggunaan makanan dan sistem rawatan organik.

Menurut Pengarah Teknikal ASSB, Izam Md. Nor, kajian yang dilakukan tertumpu kepada penggunaan kanvas dalam ternakan ikan air tawar dan pada masa sama, mengaplikasikan produk bioteknologi untuk pemakanan dan sistem rawatan organik.

Beliau berkata, teknologi itu dikenali sebagai Akuakultur Kitar Semula Dengan Penggunaan Sistem Bioteknologi (RAWBITE) yang terdiri daripada empat komponen utama.

Komponen-komponen terdiri daripada Activated Carbon (AC), BioMutiara Fish (BMF) Bio Mutiara Feed Additive Fish (BMFAF) dan Bio Mutiara Anti Odour (BMAO).

“Teknologi RAWBITE ini diaplikasikan serentak dalam sistem ternakan ikan air tawar dan setakat ini kita menggunakan pelbagai spesies ikan keli,” katanya ketika ditemui di pejabat syarikat itu di Shah Alam baru-baru ini.

Saiz kanvas yang disyorkan ialah 10 kaki x 4 kaki dalam bangunan, manakala 15 x 4 kaki di luar bangunan pada ketinggian air sehingga dua kaki.

Saiz tersebut boleh menampung kira-kira 1,500-1,800 ekor ikan keli manakala air yang digunakan bebas klorin.

Produk bioteknologi organik yang dihasilkan digunakan dalam sistem ternakan bagi menghilangkan bau, sebagai penapis selain makanan ikan dalam bentuk pelet.

Pada masa ini, syarikat memasang sistem tersebut 58 kolam kanvas di ibu pejabat dengan sistem penjagaan yang minimum.

Namun menurut Izam, selaras konsep Program Pembangunan Usahawan Akuakultur Air Tawar bersama agensi lain termasuk bank dan Projek Ternakan Ikan Air Tawar Organik Aplikasi Bioteknologi, ASSB menawarkan pakej kepada bakal pengusaha yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang akuakultur.

Pakej tersebut menawarkan 10 kolam kanvas, 18,000 ekor anak ikan dan empat produk bioteknologi serta kemudahan infrastruktur yang diperlukan.

Kemudahan infrastruktur termasuk kerangka kolam, kanvas, pam air dan turas, pam udara dan aksesori, pam penyelenggaraan, sistem penapisan RAWBITE, sistem saliran RAWBITE, pH meter dan upah pemasangan.

Menurut Pengerusi ASSB, Mohd. Nor Osman, pakej tersebut ditawarkan kepada mereka yang berminat dalam tempoh empat tahun menerusi konsep perladangan kontrak manakala ikan yang dihasilkan, akan dibeli semula oleh syarikatnya dengan harga RM4.50 sekilogram.

Menerusi teknologi tersebut ikan keli dapat dituai selepas tiga bulan dengan saiz lima atau enam ekor sekilogram.

Kontrak boleh diperbaharui berdasarkan kepada prestasi peserta.

Setakat ini, ASSB mampu memasang hampir 200 modul atau 2,000 kolam di Semenanjung Malaysia dan dijangka meningkat dari masa semasa.

“Syarikat menyasarkan 200 modul atau 2,000 kolam lagi, dalam masa terdekat bagi melengkapkan jumlah 4,000 kolam,” ujar Izam.

Syarikat terbabit juga menawarkan perkhidmatan pembekalan benih yang berkualiti dan kadar pertumbuhan yang baik supaya bekalan sentiasa diperoleh.

Pada masa ini, pengeluaran benih dihasilkan dengan kerjasama vendor di Melaka dan Pusat Pembenihan, di Salak Tinggi, Sepang manakala mereka yang berhasrat mempelajari teknik pembenihan aruhan dengan ASSB akan dilatih di Sepang, Selangor.

ASSB juga mempunyai kilang sejuk beku yang menjadi pusat operasi menyiang serta disejukbekukan untuk memproses ikan tersebut kepada serunding, sardin dan produk lain.

Bagi memenuhi permintaan makanan ternakan ikan yang tinggi, syarikat itu mengambil inisiatif membuka kilang memproses makanan ikan sendiri di Terengganu bersama Syarikat Nu Infra Mutiara Feedmill Sdn. Bhd.

Info

Kelebihan kaedah sangkar kanvas biotek

*Mudah alih

*Ekonomi dan tahan lama

*Mudah diselenggara

*Sistematik

*Hasil berkualiti

*Selamat daripada ancaman pemangsa.

*Menjimatkan ruang.

Pakej RAWBITE

Activated Carbon

*Produk yang dihasilkan daripada bahan-bahan tempatan seperti tempurung, buluh dan bahan buangan pokok yang tidak mengandungi unsur toksik dengan proses pemanasan 1200 darjah C.

*Mengurangkan gas ammonia yang beracun kepada ternakan.

*Meneutralkan bau dan warna kotoran seni

*Meneutralkan nitrik dan ammonia

*Membasmi bakteria

*Menghasilkan lebih mineral dan oksigen

*Menampung lebih banyak populasi ternakan

BMF

*Merupakan konsortium organisma yang dihasilkan daripada organisma tempatan terpilih.

*Mengandungi bakteria lacto yang bertindak sebagai probiotik

*Rawatan penyakit tanpa antibiotik

*Formulasi halal

*Menghasilkan persekitaran sihat

*Merawat ternakan daripada penyakit luaran dan dalaman.

*Mengurangkan kadar kematian ikan.

*Mencantikkan warna kulit ikan.

*lMerangsang tumbesaran.

BMFAF

*Merupakan matriks tumbuhan mengandungi organisma tempatan efektif.

*Merangsang persekitaran sihat dalam sistem penghadaman.

*Meningkatkan produktiviti

BMAO

*Matriks tumbuhan mengandungi organisma tempatan terpilih

*Menghilangkan bau

*Merangsang persekitaran sihat pada kawasan ternakan

*Membasmi bakteria .

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03-78456412 atau faksimile 03-78456461.

Keli Salai Di Malaysia


SELEPAS berhenti daripada jawatan sebagai pengurus perhubungan awam dengan sebuah syarikat penerbangan beberapa tahun lepas, Shaharuddin Md. Yusof, 60, merealisasikan minat dalam perniagaan dengan menternak ikan keli dalam tangki simen.

Pada permulaan, beliau menjual ikan keli hasil ternakannya itu kepada penjual di pasar malam dan pasar tani yang terletak berhampiran.

Shaharuddin bersama saudara lelakinya menubuhkan Newtech Aquaculture Sdn. Bhd. pada Januari 2007, dan kemudian mendaftarkan syarikat berkenaan di bawah Skim Anak Angkat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), untuk mempelajari lebih mendalam mengenai industri akuakultur ikan keli.

Sejak Disember tahun lalu , perniagaan itu, kini dikenali sebagai One Newtech, kini dimiliki sepenuhnya oleh Shaharuddin.

Dengan semangat untuk melebarkan perniagaannya, Shaharuddin mula mencari peluang untuk mempelbagai produk dengan menghasilkan produk yang diminta oleh pelanggan selain daripada ikan keli hidup.

Sebelum adanya peti sejuk, penyalaian adalah satu bentuk pengawetan dan penyimpanan yang popular.

Bahan kimia yang terhasil daripada kayu yang digunakan dalam proses penyalaian membantu memperlahankan pertumbuhan mikroorganisme dan mengurangkan jumlah kelembapan bagi pembiakan bakteria.

Rasa dan tekstur produk ikan keli organik yang disalai banyak bergantung kepada beberapa faktor termasuk kualiti ikan, jenis kayu yang digunakan untuk menyalai dan cara penyalaian.

Ikan yang disalai secara betul akan dapat mengekalkan nilai khasiat ikan segar berkenaan.

”Selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk menghasilkan ikan keli salai dan melayari Internet bagi mendapatkan maklumat mengenai peralatan, teknik dan proses bagi menghasilkan ikan keli salai.

”Saya akhirnya mendapat apa yang saya mahukan di laman web di Jerman”, kata Shaharuddin kepada Bernama semasa ditemubual di premis perniagaannya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor baru-baru ini.

Beliau terbang ke Jerman untuk bertemu dengan pengeluar mesin berkenaan tetapi mendapati harganya agak terlalu tinggi.

“Walaupun tidak dijual, mereka amat menghargai usaha saya dan memberi saya skema teknologi mesin penyalai berkenaan”, katanya.

Dengan rangka tindakan dalam tangan, Shaharuddin mendapatkan sebuah mesin penyalai yang dipasang siap di sini pada kos RM80,000.

Menurut para pegawai LKIM, mesin penyalai yang dimiliki oleh Shaaruddin adalah satu-satunya mesin penyalai yang menggunakan teknologi terkini dalam proses menyalai, di mana penyalaian (dan haba) dihasilkan di bahagian berasingan dan kemudian disalurkan ke bahagian lain di mana ikan yang diproses digantungkan.

“Cara ini, daging ikan akan masak secara perlahan dan kekal lembut dan enak”, kata Shaharuddin.

Dalam usahanya untuk mencapai kesempurnaan, Shaharuddin menghabiskan masa selama tiga bulan mencuba pelbagai teknik penyalaian untuk mengenalpasti proses penyalaian dan ramuan yang tepat.

Pemilihan kayu yang betul adalah suatu yang sukar. Hanya kayu pain yang mengandungi damar akan menjadikan ikan terasa pahit dan ini digemari ramai.

Beliau mendapati walaupun kayu dari pokok jambu tempatan memberikan hasil yang terbaik, mendapatkan bekalan untuknya bukanlah satu yang mudah. Beliau terpaksa mencari yang lain.

Habuk kayu oak

“Akhirnya, saya menjumpai habuk gergaji kayu oak menghasilkan asap yang bersih dan tidak tebal yang meningkatkan rasa enak ikan; menjadikan isi ikan warna yang menarik tanpa menjejaskan nilai khasiatnya”, jelas beliau.

Pada 1 Januari 2008, produk mula dikeluar dan dipasarkan secara komersial dengan jenama “Newtech” setelah ia berjaya menghasilkan ikan salai yang bermutu.

Dengan taglinenya berbunyi: Aromanya Membuka Selera Anda keli organik salai “Newtech” kini dipasarkan melalui pasar tani, pasar malam, pasar segar dan di kedai makan serta runcit di Bangi, Kajang dan Putrajaya.

Sebagai Presiden Persatuan Anak Angkat Jabatan Perikanan Selangor, Shaharuddin juga mewujudkan satu rangkaian pengedar untuk produk berkenaan.

Syarikat berkenaan turut aktif menyertai pameran dan ekspo yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengguna yang menitik berat akan kesihatan menyambut baik hasil produk Shaharuddin lebih-lebih lagi ia menerima sijil “halal” daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hasil pengeluaran harian mencatatkan pertambahan sekali ganda pada suku tahun kedua dan sekali ganda lagi pada suku tahun ketiga dan keempat.

Pada peringkat awal, pengeluaran produk adalah cuma kira-kira 20 kilogran (kg) sehari pada Januari dan meningkat kepada 40 kg pada Mac, 60 kg pada Jun, 80kg pada September; mencecah 100 kg sehari atau 2.5 tan metrik sebulan pada Disember 2008.

Permintaan kian bertambah hingga melebihi tawaran. Syarikat berkenaan kini terpaksa mendapatkan bekalan ikan daripada pemilik akuakultur, tetapi dengan syarat ikan keli diberi makan pelet.

“Kami menawarkan RM3.80 setiap kilogram ikan daripada penternak ikan keli, yang saiznya telah ditetapkan termasuk penghantaran”, kata Shaharuddin.

Tidak seperti ikan sejenis yang hidup dalam lumpur di sungai, ikan ternakan di kolam milik One Newtech diberi makan pelet menjadikan isi ikan terasa manis, kenyal tetapi lembut.

Penyelidikan yang dikendalikan oleh Institut Ikan Keli Amerika Syarikat mendapati bahawa ikan keli yang diternak dan diberi makan dengan pelet mempunyai sumber protein yang baik.

Kaya dalam protein dan lemak asid Omega-3 serta rendah kolestrol dan lemak tepu; ia adalah ideal untuk diet kesihatan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Persatuan Perubatan Amerika, tahap sederhana lemak politepu dan asid lemak omega-3 memberi faedah kesihatan untuk gastrousus, neurologikal, kaediovaskular, sistem peredaran dalam badan.

Laporan itu juga menyebut bahawa pengambilan satu hingga dua sajian ikan keli seumpama dalam seminggu boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat serangan jantung.

One Newtech akan memulakan satu program pengembangan bertujuan agar produk syarikat boleh diperoleh di pasar raya seperti Carrefour, Giant dan Tesco.

Shaharuddin menjangka tahap pengeluaran harian akan meningkat lagi sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, syarikat merancang menambah ketuhar penyalai selain meningkatkan kebersihan premis bagi mematuhi Prosidur Pengendalian Standard Kebersihan (SSOP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Dalam usaha mempelbagaikan produk, One Newtech baru-baru ini telah menambah daging salai dalam tawaran produknya. Turut tersenarai dalam produk barunya ialah ikan tilapia dan ikan patin salai.

“Akhirnya, kami berharap dapat memperoleh sijil HACCP (Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal) “, kata Shaharuddin.

HACCP ialah satu proses standard yang menentukan sistem pengurusan dan pengawasan yang ketat dilaksanakan dalam pengeluaran makanan.

Pensijilan ini adalah satu proses yang ditetapkan untuk jualan produk makanan yang siap proses dalam pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat

Ikan keli Pandamaran



Bak kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah dengan usahawan muda yang baru ‘bertatih’ ini. Walaupun baru enam bulan bergiat dalam industri pembenihan ikan air tawar - keli dan tilapia, Shahrul Redzuan Abd. Majid, 26, boleh digelar usahawan berjaya. Selepas menghadiri kursus anjuran lebih enam bulan lalu, usahawan muda berkenaan tidak menoleh ke belakang lagi. Berbekalkan pengalaman menjual telefon bimbit di salah sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur selama lebih dua tahun, Shahrul berubah arah kepada ternakan ikan air tawar - keli dan tilapia di atas tanah kerajaan di Gombak, Selangor. “Ketika itu pendapatan hasil ternakan ikan memang menggalakkan tetapi ada kalanya saya sukar mendapatkan bekalan benih. “Kadang-kadang saya terpaksa membiarkan kolam kosong selepas ikan habis dituai kerana putus bekalan benih,” katanya semasa ditemui di tapak pembenihan ikan air tawarnya di tanah seluas satu ekar di Telok Gong, Pandamaran, Klang, Selangor. Walaupun kehilangan ibu dan ayahnya semasa berusia 15 tahun ini dan meninggalkan persekolahan setakat Tingkatan Empat, bukan bererti Shahrul tidak boleh meletakkan dirinya sebagai usahawan berjaya. Dengan galakan dan sokongan rakan sekolahnya Mohd. Alif Parjan, 25, graduan jurusan kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) - dua anak muda dengan latar belakang pendidikan berbeza ini mengambil keputusan mengusahakan industri pembenihan ikan air tawar secara kecil-kecilan. “Walaupun saya telah menghadiri kursus selama dua hari mengenai pembenihan ikan air tawar tetapi untuk untuk mengkomersialkannya bukan semudah yang disangkakan. “Pada mulanya saya terpaksa mencuba lebih lima kali teknik aruhan sebelum telur-telur ikan berjaya disenyawakan. “Sampai sekarang saya tidak tahu apa silapnya tetapi sifat tidak putus asa menyebabkan saya dan Alif terus mencuba sehingga berjaya,” katanya yang memelihara 200 ekor induk keli betina. Shahrul menambah, bagi seekor ikan keli betina yang beratnya satu kilogram boleh menghasilkan sehingga 50,000 telur untuk disenyawakan dengan kadar kejayaan hidup boleh mencapai sehingga 80 peratus. Hanya memelihara induk betina, Shahrul membeli keli jantan dari pasar memandangkan haiwan itu akan dikorbankan semasa mengambil sperma yang terletak di bahagian tulang belakang ikan.
Bagaimanapun induk betina digunakan sekali saja kerana ia hanya akan menghasilkan telur semula selepas enam bulan. “Sekarang ramai yang menggunakan kaedah aruhan memandangkan peratusan benih yang hidup lebih tinggi berbanding cara semula jadi,” katanya yang bergiat dalam pembenihan ikan memandangkan tidak ramai yang berminat menceburinya atas alasan kerjanya yang remeh. Buat masa ini, Shahrul berupaya mengeluarkan sehingga 500,000 anak benih keli dan tilapia bergantung kepada permintaan pelanggan. Jika anak benih keli dihasilkan menerusi aruhan, anak benih tilapia pula dihasilkan menggunakan kaedah inkubator bagi mendapatkan kadar hidup yang lebih tinggi. Kaedah inkubator telah berjaya digunakan dengan jayanya bagi menghasilkan ikan tilapia yang kemudian diasuh bagi mendapatkan ikan monoseks yang lebih lebih cepat membesar dan boleh dituai Menyentuh mengenai pasaran, bapa kepada seorang anak ini berkata, beliau menerima tempahan daripada bekas-bekas peserta kursus dengannya yang berminat menjalankan ternakan ikan air tawar. “Walaupun saya tidak mencari pasaran tetapi permintaan yang diterima sangat menggalakkan sehingga tidak dapat dipenuhi,” katanya. Merancang masa depan Shahrul bercadang meluaskan industri pembenihan ikan air tawar dan meneruskan kesinambungan ternakan ikan yang ditinggalkan sebelum ini. “Dan jika simpanan saya mencukupi, insyaallah saya akan membuka kolam pancing pula,” katanya yang amat meminati industri perikanan.

Tuesday, 2 June 2009

Ikan Keli

Ikan Keli adalah ikan air tawar yang banyak terdapat di negara-negara ASEAN, khususnya di Malaysia. Di sesetengah tempat khususnya di Selangor, ikan keli disebut sebagai "ikan semilang". Bagi orang Perak, ikan semilang hanya hidup di laut.

Ikan keli boleh didapati di kebanyakan sawah padi, contohnya di Pahang, di Paya Pahang Tua, Mambang, Ganchong dan Paloh Hinai, Pekan. Ia juga banyak terdapat di Tasik Chini, Paya Bungor atau Bera. Keli juga menghuni di kuala anak sungai kecil seperti Sungai Lepar di Paloh Hinai hingga ke Jerantut dan Kuala Lipis, selain di Sungai Bera dan Sungai Serting.


Ikan Keli yang dijual di pasar.

Antara jenis-jenis ikan keli yang boleh didapati adalah:-

  1. Ikan Keli Kayu
  2. Ikan Keli Bunga
  3. Ikan Keli Eksotika
  4. Ikan Keli Limbat
  5. Ikan Keli Mata Kati
  6. Ikan Keli Rusia
  7. Ikan Keli Afrika

Ikan ternakan

Ikan keli boleh dipelihara di dalam kolam besar atau sekadar di dalam kolah. Ia mudah membiak dengan memberi makan reja daging ayam, lemak ayam dan sebagainya. Harga sekilo ikan keli yang sudah disiang hanya RM5.00 di pasar Semenyih.

Dalam bahasa Jawa dan di Indonesia pada amnya, ikan keli disebut "ikan lele".

Kepercayaan

  • Bagi sesetengah tempat khususnya di Hilir Perak dan Kampung Gajah, Perak, ikan keli tidak dimakan atau kurang dimakan kerana kepercayaan 'kuno' ikan keli berasal daripada berudu, iaitu anak katak.
  • Jika orang mati lemas di Sungai Perak, mayat yang hanyut dan telah reput itu biasanya dimakan oleh ikan keli. Mereka menjumpai dalam mayat tersebut beberapa ekor ikan keli. Mungkin kerana cerita-cerita sebegini, ikan keli 'kurang digemari' di Hilir Perak dan Kampung Gajah, Perak.
  • Sebaliknya di Semenyih, Selangor, ikan keli menjadi hidangan istimewa dalam kenduri keluarga.
Sumber dari wikipedia.

Pengenalan Keli

PERNIAGAAN IKAN KELI DI MALAYSIA

Ikan keli adalah sejenis ikan air tawar yang banyak terdapat di Malaysia . Ikan keli boleh didapati di kebanyakan sawah padi, sungai kuala dan tasik.Sekarang ni ikan keli mula diternak di dalam kolam buatan dan dikomersial. Ikan keli menjadi hidangan yang diminati ramai kerana rasanya yang enak dan berkhasiat ikan keli terdiri dari pelbagai jenis spesies iaitu keli bunga, keli kayu, keli esotik dan keli memah.

Ternakan

Ikan keli boleh diternak dalam kolam besar, kanvas atau sekadar dalam kolah. Mudah membiak dengan memberi makan reja daging ayam, lemak ayam dan sebagainya. Ikan keli yang diternak di kawasan sawah padi dapat membantu mengawal makluk perosak dengan memakan ulat2, larva cacing dan serangga.Untuk menjadikan ternakan keli ini sebagai komersial, pengusaha perlu sekurang2nya menternak 100 ribu ekor bagi satu spesies ikan keli. Kolam ternakan boleh di disediakan dalam bentuk kolam tanah, kolam simen dan juga kolam kanvas. Ikan keli di beri makan seperti pellet, daging atau lemak ayam, ikan baja atau roti. Ikan lebih gemar makanan berbentuk pepejal.

Hasil
Hasil ikan keli oleh dikutip selepas 60-90 hari selepas di lepaskan dalam kolam. Purata berat sekitar 200gram sekilo dan dijual sekitar RM3 sekilo. Pada masa ini disebabkan permintaan semakin meningkat harga boleh mencecah antara RM4.50-RM5 sekilo di pasaran terbuka.

Peluang
Industri ternakan ikan keli ini adalah adalah satu industri yang menguntungkan pada masa ini. Memandangkan permintaan tinggi, pulangan yang cepat dalam 3 bulan, tidak memerlukan ruang yang besar dan kos penyelengaaraan yang rendah dan lebih jimat jika diproses sendiri, menjadikan industri lebih menguntungkan jika diusahakan. Selain untuk masakan ikan keli boleh juga dip roses dagingnya seperti surimi,ikan salai dan sardin.